Terowong Lebuhraya Smart Sedang Dalam Proses Penyediaan Pembukaan Kepada Lalulintas

KENYATAAN MEDIA

Kuala Lumpur, 24 December 2019

Terowong Lebuhraya Smart Sedang Dalam Proses Penyediaan Pembukaan Kepada Lalulintas

Pihak pengurusan SMART sedang bertungkus-lumus untuk menyediakan Terowong Lebuhraya SMART untuk penggunanya dengan secepat mungkin.

Terowong Lebuhraya SMART telah ditutup kepada trafik bermula jam 6.30 petang semalam berikutan hujan lebat di Kuala Lumpur. Ianya dilakukan bagi pengaktifan sistem banjir, untuk pelepasan air banjir ke dalam sistem Terowong Lebuhraya SMART. Penutupan ini adalah penting bagi mengelak berlakunya kerugian dan bencana yang lebih serius berlaku di kawasan liputan (kawasan) Terowong SMART. Dengan pengaktifan sistem Operasi Banjir SMART semalam, sekitar Masjid Jamek, Lebuh Ampang, Dataran Merdeka dan Pasar Seni iaitu kawasan yang menjadi tanggungjawab utama SMART telah terselamat dari bencana banjir.

Sistem Terowong SMART telah berfungsi mengikut objektif dan reka bentuknya di mana tujuan utamanya adalah bagi menangani masalah banjir; ini telah berjalan seperti yang sepatutnya. Untuk itu para pengguna diminta bersabar ketika ia mengoperasikan sistem operasi banjirnya di mana dalam keadaan tersebut, laluan lebuhrayanya terpaksalah ditutup buat sementara waktu.

Buat masa ini, pengepaman keluar air sedang giat dijalankan, disusuli terus dengan proses pencucian terowong. Setelah kerja-kerja pembersihan dilakukan, pemeriksaan mekanikal dan elektrikal akan dijalankan bersama pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk memastikan semua peralatan berada di dalam keadaan baik dan selamat sebelum Terowong Lebuhraya SMART dibuka semula untuk para pengguna. Pihak SMART akan memaklumkan kepada umum mengenai pembukaan semula itu kelak.

Untuk rekod, bagi pengaktifan sistem Terowong SMART kali ini, sejumlah 1.3 juta meter padu air telah dilencongkan menerusi system terowong bagi mengelak air banjir dari melimpahi kawasan pusat bandar seliaan Terowong SMART.

Pihak SMART memohon agar pengguna bersabar serta memberi kerjasama dan perhatian mengenai pengumuman status operasi Terowong Lebuhraya SMART yang akan disiarkan melalui penghebahan media dan papan maklumat elektronik (VMS). Status Terowong Lebuhraya SMART juga boleh diikuti melalui laman web SMART di www.smarttunnel.com.my, twitter@smarttunnel ataupun “Smart Tunnel” di FACEBOOK. Maklumat lanjut dan pertanyaan boleh dibuat ke talian bantuan SMART 1-300-88-7188. Sebarang kesulitan amatlah dikesali.